أنظر إلى ما قال ولا تنظر إلى من قال

"lihatlah pada apa yang diperkatakan, tanpa melihat pada siapa yang memperkatakannya" -saidina ali k.a.w

Tuesday, August 31, 2004

Aaishah Abu Bakar

Si Merah Isteri Rasulullah


Aaishah Abu Bakar menyelinap keluar daripada kediamannya. Bersama rakan sebaya, gadis ini leka bermain jongkang-jongkit sehingga rambut yang terurai panjang itu menjadi kusut. Datang beberapa orang wanita lalu membawanya pergi.

Aaishah dipakaikan busana pengantin, diperbuat daripada kain merah berjalur yang halus buatan Bahrain. Ibu membawanya ke sebuah rumah baru dan dia melihat kaum wanita Ansar berkumpul di sana, mengalu-alukan sambil berkata, "Semoga dirahmati dan dikurniai kegembiraan".

Rasulullah S.A.W tiba. Mangkuk berisi susu diedarkan. Rasulullah meneguk sekali, kemudian memberikannya kepada Aaishah. Malu-malu menerima.

Setelah meneguk sekali, mangkuk itu diberi kepada kakaknya, Asma' yang duduk di sisinya, diikuti hadirin yang lain.

Itulah detik perkahwinan Aaishah, puteri Abu Bakar as-Siddiq dengan Rasulullah dalam majlis yang ringkas tapi penuh takzim.

Aaishah dilahirkan pada 614 Masihi di Mekah, lapan tahun sebelum Hijrah dan menjadi isteri Rasulullah ketika usianya 10 tahun. Bagaimanapun perkahwinan hanya dilangsungkan pada tahun kedua selepas hijrah, ketika Aaishah berumur 14 atau 15 tahun.

Aaishah masih keanak-anakan ketika itu. Rakan-rakan dibiarkan bertandang ke rumah. Kata Aaishah, "Saya bermain anak patung bersama rakan. Apabila Rasulullah balik, mereka akan berlari keluar tapi baginda memanggil mereka semula, kerana baginda gembira bagi pihak saya kerana mempunyai mereka untuk bermain".

Daya ingatan yang kuat

Suatu ketika Madinah diserang wabak demam. Aaishah melawat bapanya dan terkejut melihat bapa dan dua sahabat terbaring lesu dan sakit. Aaishah bertanya bapanya dan si bapa menjawab dalam ayat-ayat yang tidak difahaminya.

Dua sahabat yang lain turut menjawab dalam patah kata yang baginya tidak mempunyai apa-apa makna, sebaliknya hanya racauan kosong. Aaishah kerisauan lantas mengadu kepada Rasulullah S.A.W.

"Mereka meracau. Mereka hilang akalkerana demam yang terlalu kuat". Rasululah bertanya mengenai 'racauan' mereka.

Seketika, baginda lega apabila Aaishah mengulang ayat demi ayat yang didengarnya itu, walaupun beliau sendiri tidak memahami apa yang 'diracaukan' mereka.

Peristiwa ini dianggap satu demonstrasi kepada kuatnya daya ingatan Aaishah, yang akan 'menyimpan' banyak 'khazanah' berharga yang bakal diungkapkan Rasulullah.

Aaishah, isteri paling disayangi Rasulullah. Sahabat selalu bertanya, "Siapakah yang paling tuan sayangi di dunia?" Baginda tidak pernah memberikan jawapan yang sama kepada soalan itu kerana baginda menyayangi ramai orang seperti anak-anak baginda, Abu Bakar dan Ali.

Tetapi apabila ditanya siapa isteri paling disayangi, baginda selalu menyebut Aaishah. Baginda memanggil Aaishah dengan panggilan manja Humaira' yang bererti Si Merah kerana kulitnya yang kemerah-merahan. Aaishah juga sangat mencintai baginda dan berkali-kali bertanya mengenai hal itu.

Pernah beliau bertanya: "Bagaimana cinta tuan terhadap saya?" "Seperti ikatan tali" kata baginda, bermaksud kuat dan semangat. Dari masa ke semasa Aaishah akan bertanya lagi, "Bagaimana ikatan itu?" Baginda akan menjawab: "Masih dalam keadaan yang sama".

Aaishah juga turut menyimpan perasaan cemburu, dan tidak dapat membayangkan jika baginda melebihkan orang lain daripadanya.

Beliau bertanya, "Jika tuan berada di antara dua cerun di suatu lembah, satu belum disentuh, dan satu lagi sudah disentuh, yang manakah tuan akan lepaskan ternakan tuan?"

"Di kawasan yang belum disentuh", jawab Rasulullah. Kata Aaishah: "Jika begitu, saya tidak seperti isteri tuan yang lain. Setiap mereka pernah bersuami, kecuali saya". Baginda tersenyum tetapi tidak berkata apa-apa.

Cemburukan Khadijah

Bagaimanapun Aaishah pernah berkata, "Saya tidak cemburukan isteri-isteri Rasulullah, sepertimana saya cemburukan Khadijah, kerana baginda selalu menyebut nama Khadijah dan kerana Allah telah memerintahkan supaya disediakan untuk Khadijah rumah besar yang cantik dibina daripada batu berharga di syurga".

"Setiap kali baginda melakukan korban, baginda pasti mengirimkan bahagian yang adil kepada kawan-kawan rapat Khadijah". Banyak kali saya berkata, "Seperti tiada wanita lain di dunia ini kecuali Khadijah".

Suatu ketika Aaishah merungut dan bertanya mengapa baginda sering menyebut nama 'perempuan tua' itu, baginda sangat tersinggung dan berkata, "Dia adalah isteri yang mempercayai saya ketika semua orang mengingkari saya. Dia menguatkan keyakinan ketika orang lain meragui saya. Ketika saya bersedih dia menghabiskan kekayaannya untuk mengubat kedukaan saya".

Namun Aaishah terkenal murah hati dan penyabar. Berhari-hari mereka tidak mempunyai api untuk memasak dan membakar rotidan sekadar bergantung kepada air sahaja. Tetapi kemiskinan tidak pernah membuatkannya malu dan tertekan.

Rasulullah pernah menjauhkan diri daripada isteri-isterinya selama sebulan kerana mereka meminta sesuatu yang baginda tiada. Setelah tamat tempoh itu, baginda menuju ke rumah Aaishah.

Beliau gembira menerima kedatangan Rasulullah, tetapi baginda memberitahu Allah menurunkan wahyu meminta diberikan kata dua kepada isteri-isteri baginda.

Ayat berkenaan: "Wahai Rasulullah, katakan kepada isteri-isteri kamu: jika kamu inginkan kehidupan dunia dn perhiasannya, saya akan anugerahkan kamu harta, dan say akan lepasakan kamu dengan adil. Tetapi jika kamu cintakan Allah dan pesuruh-Nya dan tempat di akhirat nanti, maka keberkatan Allah akan mengiringi kamu".

Balas Aaishah, "Sesungguhnya saya mahukan Allah dan pesuruh-Nyadan tempat di sana nanti", dan reaksinya diikuti oleh isteri-isteri baginda yang lain.

Aaishah patuh kepada pilihannya. Apabila umat Islam dilimpahi kekayaan, beliau pernah dihadiahkan 100,000 dirham. Beliau berpuasa ketika itu dan semua disedekahkan sehingga tidak berbaki lagi.

Kemudiannya pembantu Aaishah datang kepadanya. "Bolehkah puan membeli daging kira-kira sedirham bagi berbuka puasa?". Jawab Aaishah: "Kalau saya ingat sudah tentu saya sudah melakukannya".

bersambung..


1 Comments:

  • At 12:43 AM , Anonymous Anonymous said...

    Assalamualaikum,
    Cerita yang menarik lagi memberi saya banyak pengetahuan tentang isteri Nabi Muhammad S.A.W, Aisyah.

    Tetapi di akhirnya, mengatakan akan bersambung tetapi mana sambungannya?

    :D

    Saya amat tertarik dan akan menunggu sambungannya.

     

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home